Saturday, 7 September 2019

Kakak Imigresen

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum wrt pembuka bicara.



Nama aku, Norafiza bt Abdul Aziz. Boleh panggil aku Fiza atau Kak Fiza. Berumur 37 tahun. Aku dilahirkan di Machang, Kelantan tapi kini keluarga aku menetap di Pasir Puteh, Kelantan. 

Aku memang anak jati Kelantan. Dari kecil sampai habis SPM, aku membesar dan bersekolah di Kota Bharu, Kelantan.

Sedikit latar belakang pendidikan aku. Aku bersekolah di  Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 11 (1989-1994) dan meneruskan pelajaran diperingkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1 (1995-1999).

Kedua-dua buah sekolah ni terletak bersebelahan sahaja. Terletak di Jalan Telipot, Kota Bharu. Sekolah ni merupakan sekolah yang semua pelajarnya terdiri daripada pelajar perempuan atau kata lainnya "girl school". Dan aku sangat berbangga menjadi salah seorang alumni "Zainabians".

Sebaik keputusan SPM diumumkan, aku menyambung pelajaran di kolej matrikulasi. Nama kolej aku, Kolej Chermai yang terletak di Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan. Aku mengambil jurusan Sains Fizikal dan aku belajar di kolej berkenaan dari tahun 2000-2001.

Selepas setahun, aku tamat menuntut di kolej matrikulasi. Aku diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, mengambil jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Sayangnya selepas lima semester aku belajar, aku terpaksa redha untuk berhenti belajar berikutan pelajaran aku semakin merosot. Ini merupakan fasa kemurungan aku yang pertama. 

Dua tahun aku menganggur. Mencari kerja sana-sini. Menghadiri temuduga pelbagai jawatan. Dan semestinya arwah abah menjadi peneman setia. Selepas berkali-kali menghadiri temuduga, akhirnya aku mendapat khabar gembira. Aku menerima tawaran dari Jabatan Imigresen Malaysia untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Imigresen pada November 2005. Dan kini, sudah 14 tahun aku bergelar Kakak Imigresen. 

Aku sekarang bertugas di pintu sempadan bahagian utara di Negeri Jelapang Padi. Sudah hampir empat tahun aku berkhidmat di sini. Alhamdulillah.

Aku bertemu jodoh dengan suami (Papa) pada bulan Disember 2008 dan dikurniakan dengan dua orang hero berumur 10 dan 8 tahun. 

Aku sebenarnya minat menulis dah lama. Tapi disebabkan aku ni ada penyakit kurang keyakinan diri, hasrat aku selalu tersangkut di tengah jalan. 

Semoga dengan wujudnya blog ini, dapat membantu aku untuk teruskan minat menulis dan membina keyakinan diri aku yang selalu terumbang ambing ni. Amin Ya Mujib.

Salam perkenalan kepada semua.


Kakak Imigresen,
Fiza Aziz 


No comments:

Post a Comment

Kawan sekolah

Punya semangat nak cuti, rupanya kena kerja hari ni. Sebab kalah. Huhu. Tapi hari ni okey sikit dari minggu lepas. Minggu lepas pagiii lagi...