Sunday, 3 November 2019

Kawan sekolah

Punya semangat nak cuti, rupanya kena kerja hari ni. Sebab kalah. Huhu.

Tapi hari ni okey sikit dari minggu lepas. Minggu lepas pagiii lagi dah kena serbu.

Alkisah cerita pagi tadi.

Aku terima satu permohonan passport baru dari seorang budak lelaki. Umur 12 tahun. Dia datang dengan mak dia.

Aku tengok muka mak dia. Macam pernah nampak. Tapi tak ingat siapa dan kat mana.

Aku terima permohonan seperti biasa.

Sampai masa nak isi nama mak dia, baru aku perasan mak dia orang Kelantan. Dan nama dia sangat familiar.

Aku terfikir sejenak. Nak tegur ke tak eh.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk bertanya.

"Mok dio ore Kelate."

"Ho, ore Kelate."

"Sekoloh Zainab dulu kea?"

"Ho, sekoloh Zainab jugok ko?"

"Awok tok ingat sayo? Kito sekelas dulu."

"Yoko? Tok cea la. Maaf deh. Kito sebayo ko? Bakpo napok mudo?"

"Ho sekelas. Yo ko napok mudo? Hehe."

"Lamo doh kijo sini?"

"Dekat 4 tahun doh. Okey, ni siap doh deh. Tunggu panggil nombor untuk bayaran pulok."

"OK, terima kasih."

Selepas bersalaman, dia berlalu bersama anak bujangnya.

Tak sangka boleh pula jumpa kawan sekolah kat sini. Sedih juga bila dia tak cam aku. Tapi hati terubat bila dia cakap aku nampak muda. Haha.

Kami bukanlah kawan rapat pun. Sekelas masa tingkatan lima. Dah dua puluh berlalu. Harus lah kalau dia tak cam aku pun.

Aku ingat dia pun sebab nama dia yang agak unik dan dia merupakan antara top student kat sekolah dulu.

Anyway, pertemuan ni menambahkan satu lagi kenangan untuk aku simpan. Simpan dalam bentuk ingatan dan tulisan.

#DiaryFA
#CDS
#CeritaBahagianH

Wednesday, 16 October 2019

Dah sebulan?


Eh, dah 17hb? Betul ke ni?

Dah sebulan rupanya aku kat sini. Menjalani rutin yang baru.

Terpaksa bangun dan bersiap lebih awal, menempuh kesesakan lalu lintas, perjalanan yang lebih panjang dari selalu.

Stress? Haha. Jangan dizikirkan perkataan itu dalam kepala. Buang jauh-jauh.

Kata kunci untuk jiwa raga lebih tenang adalah dengan " tukarkan keburukan menjadi kelebihan".

Ini yang aku belajar lama dulu sewaktu aku duk ulang-alik Pasir Puteh-Ajil.
Perhatikan keadaan sekeliling. 

Perhatikan sikap, tingkah laku dan kehidupan manusia lain.
Setiap orang ada kitaran hidup sendiri.

Berpagi-pagi menghantar anak ke sekolah, ada yang mengejar punch kad, membuka gerai menjual nasi lemak dan kuih-muih.

Bukan kita seorang yang susah. Hidup di zaman serba-serbi perlukan duit, manusia bertebaran sana-sini memenuhi keperluan dan kehendak hidup.

Bersyukur dengan nikmat Tuhan beri. 

Dr Bilal Philips:
Waking up to see another beautiful day is a blessing. Don't take it for granted. Make it count & thank Allah.

#catatansebulan
#DiaryFA


Tuesday, 15 October 2019

Ghostwriter

Alhamdulillah.
Dapat belajar ilmu baru. Belajar tentang kerjaya sebagai seorang ghostwriter.

Ghostwriter.

Kedengarannya agak asing terutama bagi mereka yang tidak terlibat dengan dunia penulisan atau penerbitan.

Aku juga baru sahaja tahu tentang kewujudan ghostwriter ni beberapa tahun lalu. Ohh rupanya, banyak buku-buku yang dihasilkan menggunakan khidmat ghostwriter. Menarik!

Namun begitu, walaupun aku berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ghostwriter atau penulis upahan ni, aku tidak temui maklumat dan orang yang tepat untuk bertanya.

Sehinggalah baru-baru ni aku terjumpa di status sahabat merangkap mentor aku dalam media sosial ni, Puan Anys Idayu. 

Daripada beliau, aku akhirnya berjaya mendaftar untuk menyertai Kelas Online Ghostwriter Junior kelolaan Puan Nordianah Bachok.

Puan Nordianah merupakan pengasas Upahmenulis.com dan juga seorang ghostwriter. Dengan berlatarbelakangkan pengalaman sebagai bekas wartawan, beliau merupakan orang yang tepat untuk mengendalikan kelas ghostwriter ni.

Rata-rata yang menyertai kelas ini sudahpun berkecimpung dalam dunia penulisan. Pada mulanya terasa juga kerdilnya diri ini. Yelah, aku tiada pengalaman langsung. Aku hanya menulis di ruangan status fb dan blog peribadi aku sendiri sahaja.

Nyata sangkaan aku meleset. Puan Diana ternyata seorang guru yang baik. Sabar dalam memberi tunjuk ajar. Dan yang paling penting, "very fast response".

Selesai tugasan, beliau terus semak, komen mana-mana yang perlu diperbaiki. Sentiasa memberi kata-kata semangat agar kami tidak hilang keyakinan diri.

Dua hari terasa cepat berlalu. Masih banyak yang perlu dipelajari sebenarnya. Menimba ilmu itu tiada noktah.

InshaAllah selepas kelas ini, segala ilmu yang diajar dalam kelas ini akan dimanfaatkan sebaiknya.

Sekarang, aku semakin yakin untuk menceburkan diri dalam dunia ghostwriter ni.

Terima kasih Puan Diana dan juga Puan Anys kerana membuka peluang ini untuk saya. Doakan saya juga berjaya menjadi seorang ghostwriter yang dipercayai seperti anda berdua.

#KelasOnlineGhostwriterJunior

Sunday, 13 October 2019

Mengaji Al-Quran

Being A Quran Tag Girl.

Buku yang aku sedang baca sekarang. Baru baca beberapa muka surat, fikiran aku dah melayang teringat zaman aku belajar mengaji Quran dulu.

Aku khatam Quran agak lambat. Masa aku berumur 14 atau 15 tahun. Nak khatamkan Quran tu, aku belajar dengan 6 orang tok guru. Sebab aku kerap pindah rumah.

Tapi aku berjaya habiskan seluruh Al-Quran dengan seorang guru je. Aku cuma panggil dia Pokcik. Tak pernah terlintas dalam fikiran aku nak bertanya siapa namanya.

Pokcik datang mengajar kat rumah. Petang dalam pukul 3 lebih, Pokcik akan datang untuk ajar aku dan adik-adik mengaji.

Alhamdulillah, aku berjaya khatam mengaji dengan Pokcik sebanyak dua kali.

Ada satu kisah lucu yang aku ingat.

Petang hari tu, ada Separuh Akhir Muzik-muzik. Sebagai gadis remaja pastinya aku tidak mahu ketinggalan menonton rancangan tu. Semi final kot.

Aku dah merungut dekat mama. Kenapa sfmm ni buat petang. Orang kena mengaji. Nak tengok camana.

Mama bebel, alah bukan lama pun mengaji. Sibuk dengan muzik-muzik. Mengaji la dulu. Dah habis mengaji tengoklah.

Masalahnya giliran aku last sekali lepas adik-adik. Huhu. Redha jelah.

Pokcik datang, ajar budak berdua tu dulu. Tiba giliran aku, macam biasa, Pokcik mesti tertidur. Hehe. Sebab aku dah pandai baca sendiri.

Aku baca cepat-cepat. Lepas satu muka surat, aku berhenti. Dengan harapan, Pokcik tanda bacaan aku setakat mana, selesai.

Tapi takkk...

Pokcik terjaga bila aku berhenti dan terus tunjuk muka surat seterusnya suruh aku meneruskan bacaan.

Nak masuk muka surat ketiga, bila suara aku dah serak, baru Pokcik bagi aku berhenti. Last-last tiga muka surat aku baca. Huhu. Mahu tak serak suara aku. Kering tekak oiii.

Selesai mengaji, Pokcik pun balik, Abah Mama duk gelak kat aku.

Aku tanya kenapa, Abah cakap, 
" Ado ore jerik tok leh tengok muzik-muzik. Serok sapa soro dio"
( Ada orang menangis tak boleh tengok muzik-muzik sampai serak suara dia). 
Dan Abah terus gelakkan aku berjemaah dengan Mama.

Aku nak defend diri aku pun dah tak guna. Diorang memang kaki bahan orang. Huhu.

Itu kenangan. Yang manis.

Aku sendiri tak pasti tentang guru-guru mengaji aku sekarang. Samada mereka masih ada atau sudah dijemput pulang bertemu Sang Pencipta.

Aku berdoa agar setiap kali aku mengalunkan ayat-ayat suci Kalamullah, pahalanya akan terus mengalir kepada semua guru-guru aku. Besar jasa mereka kepada hamba kerdil ini. Mengajar aku kenal dengan ayat-ayat cinta dari Allah ini.

Nak cerita pasal bab mengaji ni best juga. Nanti aku cerita lagi.

Till then,

Bacalah.. Dengan nama TuhanMu.

#MyQuranJourney
#Mystory

Monday, 7 October 2019

Nak tablet boleh?

Jam di dinding terus berdetak ahhh..

Dah pukul 11 malam. Aku ajak Ilham tidur.

Dia datang, baring sebelah aku, peluk aku dan..

"Mummy, nak main tablet jap boleh?"

"Pukul 11 doh ni Dik. Tablet gapo lagi nyo? Tido!"

"Hmmph..yelah"( baca dengan nada upin ipin tak puas hati dengan Kak Ros)

Dia terus berpaling dari aku, sambil menutup muka dengan selimut.

"Eh, Dik, doa tidur tok baco lagi ni. Baco doa dulu."

Perlahan dia buka selimut, tadah tangan,

"Bismillahirrohmanirrohhim.."

Dan dia terus menutup mukanya dengan selimut.

"Eh? Mano doanyo? Baru baco bismillah!"

Dan dia memandang aku dengan muka tak puas hati dan mata berkaca.

"Yelah, yelah! Sapa pukul 11.30 jah deh. Lepah tu, tido! Baco doa dulu. Mummy nok tido doh ni."

Dan dia menghabiskan bacaan doa tidur dengan suara tersekat- sekat sambil menahan tangis.

Aku gelak gila- gila dengar dia nak habiskan baca doa.

Alahhh..nak tablet je pun! Drama sangat!

#IlhamvsMummyStories

Saturday, 5 October 2019

K- Drama: She Was Pretty

Ahh bosan.  Nak buat apa ni?!

Lantas tangan mencapai tetikus di sebelah kanan. Layan drama jap. Kot ada yang best. Nak tengok cerita mana ye.

Mata meneliti satu persatu senarai drama yang ada. Dan akhirnya aku buat keputusan untuk tonton drama Korea, She Was Pretty. Untuk kali ketiga.

Layan jelah. Best apa cerita ni. Dan aku belajar sesuatu.

She was pretty mengisahkan seorang perempuan yang agak malang. Sudahlah pelajaran tak seberapa, pekerja kontrak dan tak cantik.

Suatu hari dia dipinjamkan ke bahagian editorial sebuah majalah fesyen. Sebagai runner. Buat kerja- kerja perkeranian. Jadi penterjemah. Macam-macam lah. Pendek kata, apa saja yang disuruh, dia buat.

Semuanya dia tahu buat, kecuali tentang fesyen. Dia tak pernah peduli tentang jenama, jenis- jenis pakaian atau kosmetik. Memang buta fesyen.

Dan bila dia terpaksa buat minit mesyuarat, dia buntu. Tidak faham langsung tentang apa yang para editor majalah itu bincangkan. Semuanya seolah bercakap bahasa alien yang langsung tidak difahami.

Dan akibatnya, dia dimarahi oleh bos. Tambah dengan sikap kelam- kabut dan selalu cuai, menyebabkan dia selalu dipandang sinis oleh bosnya.

Dan dia mula putus asa. Dia mula mencipta pelbagai alasan. Itu bukan bidang dialah. Bukan kerja dialah. Dia cuma pekerja sementaralah. Semuanya dia jadikan alasan dengan menganggap dirinya adalah mangsa keadaan. Dan tak sepatutnya dia dilayan sebegitu.

Hal ini, dia adukan kepada kawan baiknya. Malangnya, kawan baiknya tidak bersetuju dengan dia. Kata kawan baiknya, dia cuma mencari alasan untuk meminta simpati. Dia sepatutnya perlu buktikan bahawa dia layak untuk berada di jabatan itu. Bahawa dia bukanlah seorang yang tidak berguna seperti yang bos dia sangka.

Pada mulanya, dia marah. Kerana sepatutnya kawan baiknya menyokong dia. Bukan bos dia.

Namun, bila fikirannya mula tenang, dia mula bertikir secara rasional. Dan akhirnya mengakui, apa yang diperkatakan kawan baiknya adalah betul.

Dan dia mula belajar tentang fesyen. Berusaha untuk memahami semua terma- terma yang digunakan para editor majalah jabatan itu. Dan akhirnya dia dapat faham bahasa alien yang mereka gunakan.

Belajar sesuatu tak?

Kesimpulannya, mudah.

Stop making excuses. And start working on solutions. Right?

Asyik cari alasan je. Itulah, inilah. Terpulang pada kita sebenarnya. Nak seribu daya. Tak nak memang berjuta lemonlah dalihnya.

Layan drama pun proses belajar juga,
FizaAziz.

Wednesday, 2 October 2019

Rasa teraniaya

Bila rasa diri teraniaya, cuba buat tiga benda ni.

*Posting ni panjang tapi berbaloi kalau baca😉

1. Maafkan orang tersebut.

Yang ni memang "almost impossible" la kan. Kenapa aku kata "almost"? Sebab benda ni ambil masa. Ada yang lepas seketika dah boleh lupa semua benda yang jadi. Dah move on dan tak nak fikir lagi.

Ada yang ambil masa yang lama kerana luka dalam hati yang terlampau parah. Tahap masuk ICU. Lama memendam rasa. Lama makan hati. Rasa sakit dan tekanan yang dialami bertahun- tahun memang bukan mudah nak lepaskan macam tu je.

It's not as simple as, "Okay, I forgive you" dan lepas tu terus boleh lupa apa yang berlaku. Not gonna happen.

Selalunya apa yang kita akan cakap adalah,

" Merangkak lah kau cari aku kat Padang Mahsyar nanti!"

Kan? Nok maroh ni, nok maroh!

Tapi kan...

Nak "memaafkan" ni sebenarnya tak mustahil. It can be done. Dengan cara yang betul, kita boleh memaafkan seseorang tu walau berapa banyak dosa dia dengan kita.

Macam mana nak buat?

Cuba fikir balik.

Bila hati kita penuh dengan dendam. Penuh dengan rasa sakit hati, kemarahan yang berapi, tahap asal bercakap je telinga berasap, asal ingat peristiwa tu, mood kita hilang.

Kita sendiri pun hilang rasa tenang. Hilang rasa gembira. Hilang nikmat hidup.

Kita dah buang banyak masa dalam hidup kita semata- mata kerana marah, sakit hati dan dendam.

Sampai kita tidak ada masa untuk diri kita sendiri. Untuk enjoy hidup kita. Buat apa yang kita suka. Bergembira dan berbahagia dengan keluarga.

Setiap hari, hati dan jiwa kita hanya dipenuhi dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Akhirnya, kita hilang sebahagian hidup kita hanya kerana dendam.

Rugi tuan- tuan, puan- puan.

Itu baru kat dunia.

Dekat akhirat nanti? Makin lama urusan kita di hadapan Allah sebab nak tunggu kawan tu datang merangkak kat kita dulu. Merangkak ye, bukan berlari apatah lagi berjalan. Jenuh nak tunggu dia datang. Huhu. Lambatlah kita nak menuju ke mahligai kita kat Syurga tu ( wahhh, yakinnya kamu!)

Belajar sesuatu?

Ambillah seberapa lama masa yang kita nak. But at the end of the day, berilah kemaafan kepada mereka. Untuk ketenangan dan kebahagian diri kita sendiri.

Been there, done that.😄

2. Biar orang tabur duri pada kita. Kita tetap tabur bunga- bunga yang cantik dan harum.

* Biar mereka buat kita, jangan kita balas benda yang sama. Kalau kita buat sama macam diorang buat, apa beza kita dengan mereka?*

Ini prinsip yang aku pegang sejak sekian lama.

Pernah dulu aku bagi nasihat pada junior merangkap partner aku. Waktu tu kami bertugas jaga blok tahanan. Bila tiba masa shift kami habis, pegawai yang sepatutnya menggantikan kami selalu lewat. Adalahhh sorang tu ( gaya makcik bawang ngat!) Memang dia tanpa gagal akan selalu datang lambat dan buat muka tak bersalah. Mendidih je hati kami berdua. Haha.

Dan junior aku ni cakap nak buat benda yang sama kat pegawai tu. Kalau dia boleh buat camtu, kenapa kita tak boleh buat juga, kata junior aku.

Sebagai seorang senior dan kakak baik hati, aku cakap,

"Jangan. Kalau kita buat benda sama, tak ada beza antara kita dan dia. Kita relak je. Masa kerja kita, kita kerja. Fikir keberkatan gaji yang kita terima.

Sekarang dia lewat setengah jam, kalau kita balas, tak mustahil dia lewat sejam pula lepas ni. Huhu. Kita juga yang rugi, sakit hati.

Lagi satu, jangan bagi orang alasan untuk tuding jari kat kita. Bila ada something happened, orang tak boleh nak cari kesalahan kita.

Tapi tak bermaksud kita kena diam je. Kita cari alternatif lain. Nak bagi dia sedar kesalahan dia tu."

Nampak tak aku ni senior yang macam mana? Baik kan? Sebab tu junior aku semua sayang kat aku. Hahaha.

3. Carilah hikmah di sebalik setiap kejadian.

Selepas sekian lama aku melalui jalan- jalan penuh duri, baru aku nampak kuntuman- kuntuman bunga ros di hadapan.

Wahhh, dasat metafora pun. Haha.

Siyess laa. Ni memang betul. Tapi kan, benda ni ada syarat dia.

Syarat dia, bila kau mula redha dengan setiap ujian yang kau lalui, kau terima dengan hati terbuka, kau mula berpaling dan berserah diri sepenuhnya kepada Dia Yang Maha Kuasa.

Tadaaaa....

Allah akan bagi kita nampak hikmah di sebalik ujian yang kita hadapi.

Yang ini pun, aku dah "been there, done that" juga. Hee.

Banyak dan sungguh ajaib bila difikirkan balik.

Sebab ujian tu bukan sikit- sikit punya ujian ( untuk akulah). Makan tahun jugalah nak nampak hikmahnya tu. Siap kena mental breakdown, give up, fed up, depression, semua ada.

Bila dah start redha, baru hadir satu perasaan lega. Rasa happy, rasa syukur, rasa disayangi oleh Ya Wadud.

Nak cerita pasal pengalaman tu boleh, tapi kisahnya sangat panjang dan tragik. Haha. Aku cerita lain kali la ye.

Dah panjang lebar dah aku cerita. Cukuplah setakat ni dulu. Simpan untuk posting lain pula.

Sebelum tu, terimalah kata- kata hikmah dari Aku, hehehe..

** Kita menjauh bukan bererti kita kalah. Kita menjauh untuk mengumpul kekuatan. Agar kita bisa bangkit lebih gagah **

#FAmenulis
#SerapAmalSebar

Monday, 30 September 2019

Antara kerjaya dan keluarga

Akak dah lama kerja rupanya? Kenapa tak minta PIK?

Dah minta. Tak dapat. Lepas tu, malas dah nak fikir pasal ni.

Masih gaji IO la ni?

Aah.

Masa dengar soalan tu, terasa juga. Tak tahu kenapa rasa sentap. Huhu.

Memanglah ini satu ujian psikologi. Bila kau dah lama kerja tapi masih di takuk lama. Masih berada di bawah.

Sebelum ni, bukanlah tak ada yang bertanya. Ramai. Setiap kali jumpa orang baru. Kiranya, ni antara soalan wajib.

Tapi, naik pangkat ni, bukan naik gaji, berubah meja dari depan ke belakang.

Naik pangkat bermaksud kau kena bersedia untuk ditukarkan. Bukan sekadar tukar bahagian, tapi bertukar negeri. Memang payah lah nak stay tempat sama. Kecuali ada kes- kes kecemasan sahaja.

Pertukaran tu melibatkan yang utara ke selatan, yang timur ke barat, yang selatan ke tengah, yang Sabah Sarawak ke Semenanjung. Itu perkara biasa dalam JIM.

So, banyak perkara kau kena fikir. Nak cari rumah baru, nak bawa anak ke tidak, tak bawa anak kena berpisah sementara, pjj suami isteri, kalau bawa anak, nak kena tukar sekolah, nak kena cari pengasuh.

Dan gaji yang "naik" tu, tak mampu nak tanggung semua tu pun.

Ini realitinya.

Bukanlah aku nak hasut semua orang untuk jadi macam aku. Pilihan terletak pada keputusan masing- masing. Hidup kita tak sama. Tanggungjawab kita juga berbeza.

Dan aku pilih keluarga aku.

Kerja, bila- bila masa je orang boleh gantikan kita. Rasa dah lama kerja kat satu- satu tempat, kena bersedia untuk ditukarkan. Yes, memang la boleh belajar benda baru, kenal lagi ramai orang baru, suasana baru. Memang seronok.

Tapi tulah, fikir pasal kerja, anak- anak kadang terabai. Yang depan mata tak larat nak layan sebab penat, yang jauh tak boleh nak jenguk selalu sebab cuti kena berebut dengan orang. Yelah, bukan kita je ada keluarga, orang lain pun nak spend time dengan keluarga juga.

Oleh sebab itu, aku mula menyimpan impian. Aku inginkan kebebasan.

Kebebasan masa untuk keluarga aku.
Kebebasan membuat keputusan untuk diri sendiri.
Bebas daripada semua arahan yang kadangkala amat mengguris hati.

Aku harap, impian aku ni, akan tercapai dalam masa terdekat. Amin Ya Mujib.

*Disclaimer: Apa yang aku tulis adalah berdasarkan pendapat aku sendiri, apa yang aku inginkan. Tak ada kena mengena dengan pendapat orang lain. Anda dan saya bebas untuk menentukan hala tuju hidup kita sendiri.

Ini impian dan harapan aku.

Impian korang? Korang sendiri tahu.


Banyak soal

Pelanggan pertama aku hari ni, seorang pakcik.

Dia ada kes passport hilang. Ini kali kedua beliau datang ke pejabat setelah selesai kes siasatan passport yang hilang tu.

Dari saat pertama dia datang duduk kat depan aku untuk proses serahan, dah dapat agak pakcik ni "sangat" peramah orangnya.

Sedang aku sibuk menguruskan urusan serahan passportnya,  dia bertanya,

" Passport ni boleh pergi sampai mana?"

" Kecuali Israel, semua tempat boleh pergi."

" Ohh, saya nak ke Hawaii. Hawaii ni kat mana?"

" Hah? Oh, Amerika."

" Negeri yang ke berapa kat Amerika tu? Pertama, kedua, ketiga?  "

Aku tak faham sangat maksud soalan pakcik ni. Lalu aku hanya menjawab,

" Saya pun tak berapa pasti. Saya ni, Thailand pun tak pernah pergi."

" Eh, rugilah tak pergi Thailand. Kena pergi tu."

Sambil tersenyum manis, aku jawab, Insha'Allah.

" Passport ni sah berapa tahun ye?"

Laaa, ada lagi soalan dia.

" 5 tahun."

Selesai scan passport beliau, aku serahkan kepadanya untuk ditandatangan.

Sambil melihat gambarnya pada passport, beliau bertanya lagi,

" Sekarang ni ambil gambar tak boleh pakai spec ye?"

" Ya, sebab kita nak tengok warna mata."

" Ohh kiranya, ni passport paling selamat la yang design baru ni? "

Oleh kerana aku nak cepat- cepat selesaikan urusan dengan beliau, aku cakaplah yang aku baru je bertukar ke bahagian passport ni. Ada banyak benda lagi aku belum belajar.

" Cik dah sign ke?"

" Ohh, dah. Dah siap ke ni?"

" Ya, dah siap." Aku bagi senyuman paling manis kat pakcik tu dengan harapan dia cepat beredar, haha.

" Ok, terima kasih. "

Sambil bangun, beliau beritahu,

" Saya nak ke Baitulmaqdis," dan beliau terus berlalu.

Dan aku terkebil- kebil di kaunter.

* Nasib baiklah pakcik ni datang awal pagi, kalau dia datang waktu peak hour tadi, tiada jaminan aku boleh jawab semua soalan dia. Ramai oii customer hari Ahad."

#CeritabahagianH

Friday, 27 September 2019

Menulis Kisah Hidup

Setiap orang punya kisah hidup sendiri kan? Setiap hari yang kita lalui, pasti akan ada kenangan yang berbekas di hati.

Sudah hampir 14 tahun aku berada dalam Jabatan Imigresen Malaysia. Sepanjang waktu itu, ada terlalu banyak cerita yang aku lalui. Dan aku ingin sekali coretkan kisah dan kenangan itu.

Untuk aku simpan sebagai memori. Juga sebagai hadiah buat teman- teman seperjuangan. Tanda aku tidak pernah melupakan mereka meski kita sudah terpisah lama.

Kerana inilah, blog ini aku namakan Cerita Dari Sempadan.

Catatan kisah aku bersama sahabat- sahabat aku sepanjang perkhidmatan kami menjadi barisan hadapan pintu masuk negara.

Do enjoy the story okay?

.....,...............................................................................................

*Kalau ada yang teringin nak tulis kisah hidup, namun ada kekangan masa atau tidak tahu bagaimana, boleh je dapatkan khidmat penulis upahan atau "Ghostwriter". 



Kakak Imigresen,

FizaAziz

Wednesday, 25 September 2019

Kenapa Aku Menulis?

Aku ingin menulis, bukan kerana aku hebat. Bukan kerana aku punya banyak pengalaman indah. Bukan kerana aku adalah "seseorang".

Aku ingin menulis untuk kenangan. Menjadikan memori itu bertanda dan terpahat dengan tulisan. Tanda aku pernah ada di situ, di sini, di setiap langkah kakiku ini pernah menapak.

Memori pertama. Memori suka duka. Memori dalam mengenal erti sebuah kehidupan yang jauh berbeza dari sebelumnya.

Aku kongsikan memori ini untuk tatapan semua. Agar ada hati yang terhibur. Agar ada yang lemah kembali bersemangat. Agar dapat mengenal satu kehidupan dalam dunia realiti.

Aku harap, tulisan ini dapat memberi "sesuatu" kepada "seseorang".

Kakak Imigresen,

Fizaaziz

Sunday, 22 September 2019

Comfort Zone

Hari keempat aku bertugas di tempat baru, bahagian Keselamatan dan Paspot.

Alhamdulillah. Semakin dapat menyesuaikan diri. Biasalah kan. Baru masuk tempat orang, nak kena kenal orang-orang yang dah lama kerja kat situ. Nak membiasakan diri dengan suasana baru. Nasib baik, ada yang aku dah kenal dan job scope nya tak jauh beza dengan tempat kerja lama.

Empat tahun aku di tempat kerja lama. Teramat selesa. Serius. Tempatnya tak ramai sangat pelanggan yang datang. Cuma sekali sekala sahaja tiba-tiba ofis kami kena serbu. Ikut musim.

Jadi, bekerja di sana sangat tenang. Dan lama- kelamaan, jadilah malas. Hehe.

Bila dah terlampau selesa begitu, tiba-tiba kena tukar ke bahagian yang pelanggannya tak putus-putus, mulalah datang bisikan-bisikan yang melemahkan semangat tu.

Kelam-kabut juga aku nak menyusun balik jadual hidup aku. Oleh kerana tempat kerja baru ni agak jauh dari rumah, aku terpaksa bangun lebih awal, bertolak lebih awal. Waktu tidur pun terganggu. Dulu sempat je nak 'take a nap' waktu tengahari. Tapi sekarang, belum jumpa port yang sesuai lagi. Haha.

Tugasan blog aku juga agak terabai akibat kepenatan. Banyak ketinggalan. Nasib baik cikgu sporting.

Aku harap, aku dapat membiasakan diri secepat mungkin. Sebab aku ada banyak benda yang aku nak buat.

Mungkin keadaan blog ni masih lagi belum tersusun, namun perlahan-lahan aku akan cuba untuk menyusun setiap posting sebaik mungkin.

Dah lewat ni. Kena tidur dah. Esok nak kena bangun awal. 

Till then, good night.

Kakak Imigresen,
FizaAziz




Tuesday, 17 September 2019

Hari Malaysia

Nampaknya, sambutan Hari Malaysia tahun ni disambut dalam keadaan negara kita dilanda jerebu yang teruk. Dugaan betul kan.

Walau bagaimana sekalipun, apa yang dirancang tetap diteruskan. Sambutan Hari Malaysia yang sepatutnya diadakan di Padang Merdeka telah ditukarkan ke stadium tertutup Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Apa beza antara Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia?

Hari Kebangsaan adalah hari kemerdekaan Tanah Melayu yang dicapai pada 31 Ogos 1957. Manakala, Hari Malaysia pula merupakan hari tertubuhnya Malaysia dengan penggabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.

Tema untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ni, Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih.

Aku ada ramai juga kawan orang Sabah dan Sarawak. Glad to have them as a friend. Seronok ada kawan dari pelbagai bangsa ni. Macam-macam boleh belajar.

Semoga keamanan terus berkekalan di tanahair kita ni.

Kita raikan perbezaan. Sentiasa mencari kedamaian dan kesejahteraan.

Selamat Hari Malaysia. 

Kakak Imigresen,

FizaAziz


Arahan Pertukaran





Secara tiba-tiba, surat arahan kali ni, tertera nama aku. Secara tiba-tiba.

Pada mulanya, aku masih dapat bertenang bila dapat berita ni. Hinggalah surat tu sampai kat tangan aku pun, aku masih mampu tersenyum.

Yang gelabah dan stress lebihnya, Papa lah. Yelah, bini nak kena tukar tempat kerja. Nun jauh di pulau pulak tu.

Aku ok jer lagi. Cuma pelik, kenapa tiba-tiba nama aku yang naik. Aku tak minta tukar kemana- mana pun. 

Dan bila hal ini dibicarakan bersama teman- teman, perkara ni dah jadi makin misteri pulak. Banyak desas- desus yang sangat tidak enak didengar.

Aku cuba untuk terus bertenang. Untuk bersangka baik. Untuk memikirkan hikmah disebalik semua ni.

Siang hari, waktu kerja sepanjang hampir dua minggu sejak surat itu muncul, macam-macam benda yang aku fikir. Kenapa aku?

Tapi bila balik rumah, setiap malam aku buat TTA ( Talk to Allah). Untuk tenangkan fikiran aku yang mula resah. Mula gelisah.

Benda ni bukanlah perkara baru berlaku dalam hidup aku.

Masuk kali ni, dah tiga kali aku ditukarkan atas sebab yang aku sendiri sukar untuk mentafsirkannya.

Waktu pertama kali terjadi, aku stress hampir setiap hari. Persoalan, " kenapa aku?" tu rasanya beribu kali terulang dalam hati dan fikiran.

Aku memang tak boleh terima. Sebab aku rasa ditindas oleh permainan pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

Sehingga aku ambil keputusan memohon cuti tanpa gaji selama tiga bulan. Selama tiga bulan tu, aku hanya fikir, aku nak letak jawatan. Aku dah tak sanggup nak fikir lagi dah. Bagi aku, adalah tidak adil aku dikenakan hukuman tanpa aku ketahui apa salah aku.

Sehinggalah pada suatu hari, Allah hadirkan satu lintasan hati pada aku. Dia tunjukkan pada aku, hikmah disebalik kejadian ni. Dan aku akhirnya dapat terima semua yang berlaku selepas hampir setahun kejadian tu berlaku.

Kali kedua, juga berlaku ketidakadilan pada aku. Pertuduhan dan kata- kata yang dilemparkan pada aku amat mengguris hati aku. 

Sangat tidak patut aku diperlakukan sedemikian sedangkan aku hanya menjalankan tugas aku sahaja. 

Aku ditukar ke bahagian lain. Oleh kerana, bahagian itu membuat aku rasa sangat tertekan, aku mohon ditukarkan ke tempat aku bertugas sekarang ni.

Sepanjang empat tahun disini, aku sangat bahagia. Kerja tak stress, kawan-kawan dah macam adik- beradik. Bos pula dah macam ayah sendiri. Mahu tak happy.

Malah, waktu pertama kali aku melapor diri di sini, ketuanya adalah rakan sekolah arwah Abah. Selama ni aku hanya dengar namanya sahaja. Akhirnya aku bertemu jua orang yang Abah duk sebut- sebut sebelum ni.

Dan baru aku nampak hikmah disebalik kejadian ni.

Allah temukan aku dengan sahabat lama Abah, untuk mempertemukan Abah dengannya. Betul- betul sebelum bos aku pencen dan Abah kembali ke rahmatullah.

Allahu Allah.

Dan untuk pertukaran kali ni, aku perlu yakin. Allah nak beri sesuatu kepada aku. Aku hanya perlu sabar, redha dan terima ujian Allah ni dengan hati terbuka.

Dan aku ingat kembali, walau apa pun terjadi, semuanya Di bawah aturan Dia Yang Maha Merancang, Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. 

Walaupun aku tiba-tiba berdebar. Bagaimana nak hadapi orang- orang baru, di tempat baru. Aku seorang " introvert". Ambil masa nak kenal rapat dengan orang.

Walau bagaimana sekalipun, aku mohon pada Dia, agar aku ditempatkan bersama orang yang baik, yang tiada perasaan hasad, tidak menghakimi orang lain sebelum betul-betul kenal siapa aku dan tempat yang aman tanpa pergaulan yang terlampau bebas tanpa batas.

Semoga semuanya baik-baik saja. 

Doa kan aku kuat ye.

Kakak Imigresen,
FizaAziz.

Friday, 13 September 2019

Jerebu Datang Lagi

Bila Cikgu Anys suruh tulis entry tentang jerebu, maka gigihlah aku buat research.

Klik page itu, klik page ini, maka dapatlah aku buat rumusan tentang keadan jerebu yang sedang melanda negara kita dan juga negara-negara jiran yang lain. Semalam (13 September 2019), aku tengok Buletin Utama TV3 , jerebu ni dah merebak sampai Songkhla, Thailand.

Dari mana puncanya jerebu kali ni?

Dari portal Utusan Online (bertarikh 13.09.2019), Jabatan Alam Sekitar memaklumkan dalam kenyataannya, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan. 

Akibatnya, beberapa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di sepanjang Pantai Barat, Selatan dan Timur Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Sarawak meningkat. Terbaru yang aku dengar Tawau, Sabah pun dah berjerebu juga.

Salah satu dari cara untuk mengurangkan jerebu ni ialah melalui proses pembenihan awan.

Apa yang aku dengar dari Buletin Utama semalam, ada dinyatakan bagaimana proses pembenihan awan ini dilakukan. Alhamdulillah, proses tu berjaya apabila hujan turun di beberapa tempat di Sarawak. Dan mungkin ada beberapa tempat lain di Semenanjung pun akan dilakukan proses pembenihan awan. Nak tahu bagaimana proses pembenihan awan dibuat? Boleh klik sini.

Dengan adanya jerebu, maka akan datanglah pelbagai penyakit. Jadi kalau boleh, kurangkan aktiviti-aktiviti kat luar rumah. Banyakkan minum air kosong. Kalau perlu keluar, pakai topeng muka ye. Untuk keselamatan dan kesihatan kita juga kan.

Ini semua untuk mengelakkan risiko-risiko penyakit seperti sakit tekak, sakit mata, batuk dan selsema. Siapa-siapa  yang ada penyakit kronik seperti asma, radang paru-paru, sakit jantung dan lain-lain kena lagi berhati-hati. Kena sentiasa pantau kesihatan kita dan keluarga. Keadaan sekeliling pun kena pantau juga.

Akhir kalam, cewah..

Aku harap jerebu ni akan cepat-cepat berlalu. Bukan apa, risau la kan. Anak-anak nak sekolah. Aktiviti kat luar pun banyak kena cancel. 

Sama-sama kita doakan yang terbaik ye. 

Kakak Imigresen,
Fiza Aziz


Sumber:

  1. Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. https://www.utusan.com.my/berita/nasional/jerebu-di-semenanjung-memburuk-1.970142
  3. http://www.met.gov.my/pendidikan/sainsatmosfera/pembenihanawan
  4. https://www.facebook.com/publichealthmalaysia/

Hubungi Saya

Untuk sebarang pertanyaan, tempahan dan konsultasi, anda boleh hubungi saya di:


WhatsApp: 011-17933520 
( Saya hanya menerima mesej sahaja buat masa sekarang. Sila nyatakan nama dan urusan anda untuk saya reply dengan kadar segera)


E-mel : norafizaabdulaziz@gmail.com


Facebook : Fiza Aziz 


Wednesday, 11 September 2019

Bisnes Online - Dulu dan sekarang


Segan aku nak bercerita pasal bisnes online ni. Hehe.
Aku pernah cuba untuk menceburkan diri dalam bisnes online sewaktu aku mula belajar tulis blog. Memang sengaja pilih kelas blog dan bisnes online. Dapat belajar kedua- duanya sekaligus.

Aku bermula dengan menjadi dropship dari produk- produk Akademi Bekerja Dari Rumah ( ABDR) seperti :
  • Kelas Blog
  • E- book
  • Makanan Sunnah
Tapi biasalah, adat orang baru belajar, semuanya jadi serba tak kena. Bila dalam hati cuma fikir nak untung je. Bila buat promosi memang krik, krik je. Huhu. Sedih.

Jadi aku berhenti separuh jalan. Setelah dianalisa dan diteliti serta muhasabah diri, ini antara beberapa sebab kenapa aku gagal.
  1. Kurang ilmu
  2. Kurang sabar
  3. Kurang keyakinan diri
  4. Malu
  5. Mudah putus asa
  6. Hanya fikir nak untung je
  7. Malas
  8. Tak konsisten
  9. Keinginan tidak selari dengan tindakan
  10. Cepat sentap
Fuhhh..banyaknya! Ada lagi tu..tapi cukuplah yang sepuluh tu dulu.

Memang inilah antara virus yang bisa menggagalkan usaha seseorang peniaga, baik di atas talian mahupun di luar talian. Virus- virus ni memang akan sentiasa menyerang hati kita. Akibatnya, kita pun berhenti begitu je. 

Konon pasrah dan redha la sangat. *Akulah ni*

Namun begitu, aku tak berhenti macam tu je. Lepas semangat aku pulih balik, aku cuba mula semula. Kali ni, aku pilih bisnes Shaklee.

Bulan pertama, dapatlah merasa bonus. Memang tak sangka sangat lah. Kebetulan, ramai pula yang order dengan aku. Seronok wei, dapat bonus.

Tapi bulan kedua, aku langsung tak ada jualan. Aku stress, sebab dalam grup tu, semua macam semangat dan aktif. Aku rasa rendah diri sangat. Dan akhirnya, aku berhenti juga.

Nampak tak, kat mana kelemahan aku sebenarnya?

Dan aku buat analisa sekali lagi.

Aku cuba kenal diri aku, apa yang aku minat, apa yang aku suka, apa yang boleh buat aku tak rasa rendah diri.

Aku suka menulis. Menulis boleh buat aku rasa tenang. 

Jadi, aku cuba untuk atasi semua kelemahan aku tu.

Itulah tujuan aku masuk balik kelas blog ni, belajar semula dari awal. Aku juga follow mereka- mereka yang berkecimpung dalam bidang penulisan. Ambil semangat mereka.

Belajar semua cabang- cabang penulisan. Banyak juga aku belajar sebenarnya.
  • Masuk kelas penulisan kisah hidup
  • Masuk kelas penulisan content di media sosial
  • Baca e- book dan buku yang berkaitan ilmu penulisan, storytelling, content writing, personal branding.
Aku cuba tambah ilmu berkaitan penulisan. Dan sekarang ada satu lagi yang aku sedang belajar.

Bagaimana untuk menjadi seorang Ghostwriter atau penulis upahan.




Dan aku nak buat sampai dapat kali ni. Insha'Allah. Sebab aku dah pasti apa BIG WHY aku sebenarnya.

Sudah tentu, cabaran dan dugaan tu pasti akan sentiasa ada. Terpulang pada kita bagaimana untuk menanganinya.

Yang penting, kena buang semua sifat negatif dalam diri. Belajar, praktik, belajar, buat, belajar, berdoa, belajar lagi. Jangan berhenti. Insha'Allah, kejayaan pasti milik kita.

Kakak Imigresen,
Fiza Aziz


Sunday, 8 September 2019

Blog Baru

Blog baru? 

Sebenarnya aku pernah belajar bina blog dengan Cikgu Anys dulu. Masa tu tahun 2014. Memang niat aku nak menulis blog secara aktif dan juga belajar untuk mula bisnes secara online. Aku belajar bina blog ni pun secara online juga. Teknologi dah canggih kan.

Nama blog aku dulu, banyak kali juga aku tukar. Akhir sekali, aku namakan blog itu, By Yours Truly, Fiza Aziz. Banyak juga aku bercerita dalam blog tu. Cerita kisah keluarga, pengalaman hidup aku dan macam-macam lagi lah. Kali terakhir aku buat post kat blog tu, awal tahun 2018. 


Blog pertama aku


Biasalah, menulis ni pun ikut mood juga. Kadang-kadang aku publish dua post sehari. Lepas tu, lama tinggal, baru ada post baru. Tak konsisten. Tak ada topik yang tetap. Aku cuma menulis sesuka hati je. 

Selepas tu, ada juga beberapa blog lain yang aku buat. Tapi semuanya tak aktif. Ada satu blog pun tak terurus, ada hati nak buat banyak-banyak. Hehe. Biasalah. Masa tu tamak. Al maklumlah, baru pandai buat blog.

Kenapa aku nak buat blog baru pula?

Sebab pertama, aku nak bermula semula. Kali ini, Inshaallah, dengan cerita- cerita yang lebih segar. Tentang pengalaman aku sepanjang berkhidmat sebagai seorang Pegawai Imigresen. Aku nak kumpulkan semua cerita dalam satu medium. Lebih mudah aku nak buat rujukan.

Guna blog lebih senang berbanding facebook. Ini pengalaman aku sendiri. Aku pernah menulis tentang kisah-kisah aku di facebook, tapi sangat sukar aku nak cari balik post-post lama. Jadi, aku buat keputusan untuk bina blog khusus untuk aku simpan kisah pengalaman aku dan rakan-rakan sejawat sepanjang kami berkhidmat sebagai barisan hadapan menjaga pintu pagar sempadan negara.

Oleh kerana itulah, aku namakan blog aku ini, Cerita Dari Sempadan.

Aku harap, perkongsian aku ini, dapat memberi gambaran yang lebih jelas tentang kerjaya sebagai seorang Pegawai Imigresen.

Kakak Imigresen,
Fiza Aziz

Saturday, 7 September 2019

Kakak Imigresen

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum wrt pembuka bicara.



Nama aku, Norafiza bt Abdul Aziz. Boleh panggil aku Fiza atau Kak Fiza. Berumur 37 tahun. Aku dilahirkan di Machang, Kelantan tapi kini keluarga aku menetap di Pasir Puteh, Kelantan. 

Aku memang anak jati Kelantan. Dari kecil sampai habis SPM, aku membesar dan bersekolah di Kota Bharu, Kelantan.

Sedikit latar belakang pendidikan aku. Aku bersekolah di  Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 11 (1989-1994) dan meneruskan pelajaran diperingkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Zainab 1 (1995-1999).

Kedua-dua buah sekolah ni terletak bersebelahan sahaja. Terletak di Jalan Telipot, Kota Bharu. Sekolah ni merupakan sekolah yang semua pelajarnya terdiri daripada pelajar perempuan atau kata lainnya "girl school". Dan aku sangat berbangga menjadi salah seorang alumni "Zainabians".

Sebaik keputusan SPM diumumkan, aku menyambung pelajaran di kolej matrikulasi. Nama kolej aku, Kolej Chermai yang terletak di Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan. Aku mengambil jurusan Sains Fizikal dan aku belajar di kolej berkenaan dari tahun 2000-2001.

Selepas setahun, aku tamat menuntut di kolej matrikulasi. Aku diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, mengambil jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Sayangnya selepas lima semester aku belajar, aku terpaksa redha untuk berhenti belajar berikutan pelajaran aku semakin merosot. Ini merupakan fasa kemurungan aku yang pertama. 

Dua tahun aku menganggur. Mencari kerja sana-sini. Menghadiri temuduga pelbagai jawatan. Dan semestinya arwah abah menjadi peneman setia. Selepas berkali-kali menghadiri temuduga, akhirnya aku mendapat khabar gembira. Aku menerima tawaran dari Jabatan Imigresen Malaysia untuk menjawat jawatan sebagai Pegawai Imigresen pada November 2005. Dan kini, sudah 14 tahun aku bergelar Kakak Imigresen. 

Aku sekarang bertugas di pintu sempadan bahagian utara di Negeri Jelapang Padi. Sudah hampir empat tahun aku berkhidmat di sini. Alhamdulillah.

Aku bertemu jodoh dengan suami (Papa) pada bulan Disember 2008 dan dikurniakan dengan dua orang hero berumur 10 dan 8 tahun. 

Aku sebenarnya minat menulis dah lama. Tapi disebabkan aku ni ada penyakit kurang keyakinan diri, hasrat aku selalu tersangkut di tengah jalan. 

Semoga dengan wujudnya blog ini, dapat membantu aku untuk teruskan minat menulis dan membina keyakinan diri aku yang selalu terumbang ambing ni. Amin Ya Mujib.

Salam perkenalan kepada semua.


Kakak Imigresen,
Fiza Aziz 


Kawan sekolah

Punya semangat nak cuti, rupanya kena kerja hari ni. Sebab kalah. Huhu. Tapi hari ni okey sikit dari minggu lepas. Minggu lepas pagiii lagi...